Bidang Kuasa Polis Bantuan

Polis Bantuan dilantik dan dikawal di bawah seksyen 47 – 50 Akta Polis 1967 bagi tujuan memberi khidmat pengawasan di kawasan-kawasan yang kekurangan pengawalan polis, dan boleh menjadi unit bantuan kepada PDRM dalam situasi yang diperlukan.

 

Tugas utama Polis Bantuan adalah melindungi harta benda milik majikan dan mencegah jenayah di kawasan jagaan mereka. Ini bermakna mereka bertanggungjawab sebagai polis dalam lingkungan kawasan milik syarikat mereka.

 

Perenggan 20 Perintah Tetap Ketua Polis Negara menyatakan apabila Polis Bantuan bekerjasama dengan pegawai polis dari PDRM, pangkat Polis Bantuan haruslah lebih rendah dari pangkat pegawai polis PDRM.
 
Perenggan 6.5 pula menyatakan bahawa pangkat tertinggi mana-mana Polis Bantuan tidak boleh melebihi pangkat Ketua Polis Daerah kawasan terbabit.

 

Lihat Akta Polis – 1967PDRM & Polis Bantuan

Pelantikan Polis Bantuan

Seksyen 47(1) Akta Polis 1967 menyatakan bahawa:

 

Ketua Polis Negara, dengan persetujuan Menteri, boleh melantik atau menaikkan pangkat mana-mana orang untuk berkhidmat dalam Polis Bantuan sebagai pegawai kanan polis bantuan dengan pangkat kehormat Penguasa, Timbalan Penguasa, Penolong Penguasa atau Inspektor, dan boleh menetapkan kawasan di mana pegawai itu akan berkhidmat.

Ketua Polis Negara, dengan restu Menteri Dalam Negeri, boleh melantik mana-mana individu sebagai Pegawai Kanan Polis Bantuan dari pangkat kehormat Inspektor hingga ke pangkat Superintendan. Individu ini boleh terdiri dari mana-mana pegawai polis yang telah menjalani latihan.

 

Seksyen 47(2) pula menyatakan pelantikan pegawai rendah polis bantuan:

 

Seorang Pegawai Memerintah atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa olehnya bagi maksud itu, dengan atau tanpa perjanjian bertulis, boleh melantik atau menaikkan pangkat mana-mana orang untuk berkhidmat dalam Polis Bantuan sebagai pegawai rendah polis bantuan dengan pangkat kehormat sub-inspektor, sarjan mejar, sarjan atau koperal atau sebagai seorang konstabel polis bantuan dan boleh menetapkan kawasan di mana pegawai itu akan berkhidmat.

Pegawai Memerintah atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa olehnya boleh melantik mana-mana individu (selepas latihan) sebagai pegawai rendah polis bantuan. Sepertimana pelantikan pegawai kanan Polis Bantuan, pegawai polis yang sedia ada ataupun individu yang telah melalui latihan akan dilantik.

Latihan

Latihan Polis Bantuan dijalankan selama 9 minggu di Pusat Latihan Polis. Majikan mereka bertanggungjawab ke atas penginapan, makanan, peralatan dan lain-lain yang diperlukan semasa latihan ini. Pusat Latihan Bukit Aman menyediakan sukatan latihan dan ini dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan keberkesanan dan kaitan sukatan latihan.

 

Majikan Polis Bantuan juga perlu menyediakan kursus dan latihan tambahan dari masa ke semasa. Mereka juga boleh menghubungi Badan Polis Bantuan untuk mendapatkan maklumat tentang latihan yang bersesuaian untuk memantapkan lagi prestasi pegawai mereka. Organisasi pengawasan ada tatatertib yang perlu dipatuhi. Ini termaktub dalam Perenggan 25-28.

 

Perenggan 25, Polis Bantuan boleh membawa dan menggunakan senjata api, gari dan cota yang dilesenkan di atas nama majikannya, dengan syarat mereka hanya boleh membawa dan menggunakannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarah oleh majikannya dalam kawasan yang ditetapkan.

 

Perenggan 26: Seorang anggota Polis Bantuan hendaklah tertakluk kepada peraturan-peraturan tatatertib yang seberapa hampir seperti seorang pegawai polis yang setaraf pangkat dengannya

Perenggan 27: Majikan bertanggungjawab mengambil tindakan salah laku anggota-anggota Polis Bantuan di bawah kawalannya dan melaporkan keputusan tindakan salah lakunya kepada Pesuruhjaya/Ketua Polis Negeri yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Perenggan 28: Ketua Polis Negara boleh pada bila-bila masa mengikut budi bicaranya menarik balik kuasa polis seseorang Pegawai Kanan Polis Bantuan dan boleh juga menurunkan pangkatnya ke pangkat yang lebih rendah. Pesuruhjaya atau Ketua Polis boleh pada bila-bila masa mengikut budi bicaranya, menarik balik kuasa polis seseorang Pegawai Rendah Polis Bantuan atau Konstabel Polis Bantuan.